latar belakangPenubuhan Universiti Islam Selangor secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu serta penyatuan umat Islam di negeri Selangor dengan bermottokan ‘Pemangkin Tradisi Ilmu’ sehingga UIS terus beriltizam melahirkan Da’i, Ulama dan Umara.

Semasa awal penubuhannya, seramai 60 rang pelajar kumpulan pertama telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program Diploma Pengajian Islam (Bahasa Arab) dengan Kod IS11 dan Diploma Pengajian Islam (Syariah) dengan kod IS12 mulai Jun 1995 di bawah kendalian Jabatan Bahasa Arab bagi IS11 dan Jabatan Syariah bagi IS12 Sekolah Pengajian Islam, Kolej INPENS, sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh Yayasan Selangor. Seterusnya pada 1 Disember 1996, KISDAR mula beroperasi sepenuhnya sebagai syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selepas menerima kelulusan pendaftaran daripada Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada asalnya, ia beroperasi di bangunan sementara iaitu di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) di Seksyen 11, Shah Alam selama empat tahun (1996-2000), sebelum berpindah ke kampus tetap seluas 104 hektar di kawasan Bangi Lama, Kajang. Pada 29 Mei 2002, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah mengisytiharkan perasmian kampus KISDAR .

Pada 22 Oktober 2004, KISDAR secara rasmi telah dipelawa untuk dinaik taraf sebagai sebuah Kolej Universiti dan bermula 31 Disember 2004, nama KISDAR secara rasmi diperakukan sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan pada Julai 2023 KUIS telah dinaik taraf sebagai Universiti Islam Selangor (UIS). Perubahan kepada sebuah Universiti itu mempunyai kesan psikologi terhadap warga kolej kerana institusi telah berganjak setapak ke hadapan sebagai sebuah Universiti.

Di bawah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Jabatan Syariah sebenarnya telah mula menawarkan satu lagi program pengajian di peringkat diploma iaitu Diploma Syariah Dan Perundangan Islam sejak tahun 2003 dengan pengambilan pertamanya seramai 12 orang pelajar. Serentak dengan itu, bagi melancarkan pentadbiran dan pengurusan fakulti, satu lagi jabatan baharu ditubuhkan iaitu Jabatan Undang-undang bagi memfokuskan penawaran program pengajian dan aktiviti berkaitan akademik dalam bidang perundangan Islam. Seterusnya pada tahun 2005 Jabatan Undang-undang telah menawarkan program pengajian di peringkat sarjana muda iaitu Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-undang yang telah menerima seramai 33 orang pelajar pada pengambilan pertamanya. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelajar lepasan STPM atau STAM melalui struktur pengajian biasa atau daripada lepasan Diploma melalui program pengecualian kredit.

Manakala Jabatan Syariah sehingga kini menawarkan program Diploma Pengajian Islam (Syariah), Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Muamalah dan Ijazah Sarjana Syariah (Pengurusan). Pada tahun 2017, Fakulti Syariah dan Undang-Undang telah ditubuhkan dalam usaha untuk menumpukan kepada program-program berkaitan syariah dan perundangan Islam Jumlah ini menjadikan pada tahun 2017, terdapat dua program sarjana, dua program sarjana Muda dan dua program Diploma.

Dari sudut urus tadbir, kedua-dua jabatan dari awal penubuhan UIS sehingga ke tahun 2004 adalah berada di bawah Sekolah Pengajian Islam (SPI) dan dengan naik taraf ke Kolej Universiti, SPI telah ditukar kepada Fakulti Pengajian Peradaban Islam sehingga kini. Bagaimanapun bermula 1 Jun 2016, kedua-dua jabatan ini telah digabungkan menjadi Jabatan Syariah dan Undang-undang dengan mempunyai ketua-ketua program yang mengendalikan program-program di peringkat Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana. Pada 23 Januari tahun 2017, Fakulti Syariah dan Undang-undang dilancarkan selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah UIS Bilangan 3/2016 pada 26 Ogos 2016.